Jumaat, 22 Januari 2010

PENGISIAN USRAH : Nabi Musa berguru dengan Nabi Khidir a.s

(Usrah AJK DPPK Tapah di rumah Saudara Kamil)

Surah Al-Kahfi (ayat 79-82)

Terjemahan maksud ayat :
Ia menjawab: "Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.(78)

Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.(79)

Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.(80)

Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.(81)

Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".(82)

Huraian Dan Tafsiran Ayat.

Ayat-ayat ini adalah kesinambungan dan jawapan dari ayat yang terdahulu berkenaan dengan tindakan pelik Nabi Khidir a.s. Allah Taala menjelaskan satu persatu jawapan terhadap apa yang telah dilakukan oleh Khidir a.s. ketika Nabi Musa a.s. bersamanya.

Dalam ayat 78, Nabi Khidir a.s. menjelaskan kepada Nabi Musa a.s bahawa mereka perlu berpisah kerana Nabi Musa a.s. telah melanggar syarat dan seringkali melakukan kesalahan yang berulang-ulang iaitu sentiasa menegur perbuatan Nabi Khidir a.s. kerana tidak sabar di atas apa yang berlaku.

Perkara yang ditegur itu ialah membocorkan kapal kepunyaan orang miskin, membunuh seorang budak lelaki dan membaiki tembok/dinding rumah yang dimilki oleh 2 orang anak yatim yang hampir roboh.

Dalam ayat 79-82, Allah Taala menjelaskan 3 sebab perbuatan Nabi Khidir a.s.

Tindakan Nabi Khidir a.s. membocorkan perahu orang miskin yang bekerja di laut mencari nafkah hidup - Ini kerana tindakan merosakkan perahu itu untuk menghindarkan perbuatan seorang raja yang zalim yang suka merampas perahu yang elok secara paksa daripada rakyatnya. Walaupun dilihat membocorkan perahu itu zalim pada peringkat awalnya tetapi ianya lebih ringan jika dibandingkan perbuatan dirampas oleh raja yang zalim. Inilah kaedah mengambil pakai mudharat yang lebih kecil dari mudharat yang lebih besar.(irtikaabu akhaffi Dhorarain) Ibn Jarij meriwayatkan dari Syuib al-Jubaie bahawa Nama raja itu ialah Hadad bin Badad dan namanya disebut di dalam taurat dari zuriat al-‘Aisu bin Ishak.

Tindakan Nabi Khidir a.s. membunuh seorang budak lelaki(Ghulam) - Tindakan Khidir a.s. membunuhnya kerana budak itu ditakdirkan akan menjadi kafir apabila dewasa kelak.Oleh kerana untuk menyelamatkan ibubapanya yang beriman supaya tidak berpegaruh dan mengikut jejak anaknya itu maka dia perlu dibunuh. Nabi Khidir a.s. mendapat ilham dari Allah Taala bahawa peristiwa itu pasti berlaku jika tidak membunuh budak itu. Inilah yang disebut kaedah saddu zarai’k (menutup ruang maksiat). Kemudiannya Khidir a.s. mengharapkan Allah Taala mengantikan anak yang lebih baik dari anak yang mati dibunuh tadi kepada kedua ibubapanya.

Tindakan Nabi Khidir a.s. membaiki tembok/dinding yang dimiliki oleh 2 orang anak yatim- Tindakan ini dilakukan oleh Nabi Khidir a.s. kerana untuk menyelamatkan harta anak yatim tersebut yang tersimpan di bawahnya. Harta itu adalah peninggalan bapanya yang telah mati dan bapanya adalah seorang yang soleh. Diriwayatkan bahawa kedua-dua anak yatim tersebut tinggal disebuah kampung bernama Antakiah.

Di akhir ayat 82, Allah Taala menjelaskan bahawa ketiga-tiga tindakan Nabi Khidir a.s.yang menyebabkan nabi Musa a.s. tidak mampu sabar denganya itu bukanlah ijtihad semata-mata tetapi ia merupakan perintah Allah dan ilham serta wahyu dari-Nya.

Pengajaran Ayat.

Ketiga-tiga peristiwa yang disebutkan itu sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Khidir a.s. adalah dari pilihan mengambil mudharat yang paling minimun dari mudharat yang paling maksimun.

Wajib ke atas setiap muslim menghindarkan diri supaya tidak berteduh di bawah dinding yang condong/senget kerana bimbang menimpa diri bahkan hendaklah mempercepatkan diri ketika melalui kawasannya. Berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Apabila kamu melalui ‘tirbal’(tembok/dinding yang tinggi atau batu yang besar dari atas bukit) yang condong maka hendaklah kamu percepatkan langkahmu” Riwayat ini disebut oleh Ibn Athir dalam kitab an-Nihayah.

Keramat para wali thabit nasnya berdasarkan hadis-hadis dan Ayat-ayat yang mutawatir kecuali ianya amat diingkari oleh ahli bidaah yang sesat dan ahli fasiq yang menyeleweng. Antaranya dalil nas al-Quran yang menceritakan kisah Maryam ibu Nabi Isa.a.s. yang mendapat buah-buahan musim sejuk pada musim panas dan mendapat buah-buahan musim panas pada musim sejuk. Ataupun karamahnya ketika mengoncang pokok kurma yang kering boleh menghasil buah sedangkan beliau bukanlah nabi. Begitu juga buktinya kekuatan tangan khidir a.s. yang membocorkan perahu, membunuh budak dan mendirikan tembok. Pandangan ini disandarkan kepada pendapat yang mengatakan Khidir bukanlah nabi tetapi seorang wali.
Hukum Syarak hanya boleh diterima apabila ianya adalah wahyu dan mimpi para Nabi a.s. Dan tidak boleh diterima pakai pendapat yang mengatakan hukum syarak yang baru boleh diterima daripada ilham para wali dan seumpamanya.

Hendaklah seseorang itu bersifat tawadhuk dan tidak bersikap takjub dan sombong dengan ilmu yang dimilikinya. Juga jangan pula cepat membantah dan melenting apabila sesuatu keputusan dibuat selagimana keputusan itu belum diketahui secara mendalam. Contohilah politik bijak Nabi s.a.w. yang menangguhkan tuntutan menjatuhkan hukuman kepada musyrikin yang mempersendakan Islam dan Kitab-Nya. Mereka semua akan menerima azab yang pedih dan akan musnah di dunia dan akhirat. Begitulah juga kisah dalam ayat-ayat yang dibincangkan di sini.


Wallahua'lam



(AJK DPPK Tapah sedang tekun berusrah yang di pimpin oleh Ustaz Hasri selaku Ketua Lujnah Tarbiah)

*kualiti gambar kurang memuaskan.harap maaf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan