Isnin, 22 November 2010

FB pencorak peribadi seseorang

Pengasas Facebook


Facebook atau FB, telah menjadi satu kegilaan bagi manusia dewasa ini.

Fenomena FB mulai mewarnai kehidupan penggunaan alam maya dan sesawang 6 tahun yang lalu, dan diasaskan oleh seorang remaja yang masih muda ketika itu. Mark Zuckerberg adalah seorang mahasiswa Universiti Havard yang mencipta laman social ini. Facebook adalah merupakan satu sistem jaringan sosial yang beliau cipta bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama pelajar di Universiti Havard. Namun ini berkembang dengan pesatnya, apabila ia dikomersialkan untuk umum.

Facebook telah menjadi fenomena di seluruh dunia dan dikatakan sudah mempunyai 500 juta pengguna dan menjadikan pengasasnya billionair termuda di dunia. Baru- baru ini, Mark Zuckerberg dikatakan mempunyai kekayaan sebanyak 6.9billion USD, mengalahkan pengasas Apple yang telah lama dalam industri. (Forbes)

Majalah Time telah mengiktiraf Zuckerberg dalam ranking ke 52 daripada 101 tokoh sebagai antara ‘tokoh paling berpengaruh dunia 2008, iaitu sebaris dengan nama besar Barrack Obama dan Dalai Lama? Inilah impak facebook.

Filem The Social Network

Dan, terkini saya dapat tahu bahawa akan ditayangkan sebuah filem berkisar FB ini. The Social Network merupakan sebuah kisah benar mengenai pengasas Social Network terkenal di dunia iaitu Mark Zuckerberg pengasas Facebook, yang diarahkan oleh David Fincher(pengarah Panic room, dan Zodiac). Filem ini bakal ditayangkan di seluruh Malaysia pada 2 Disember 2010 ini.

Mungkin filem ini akan mendedahkan bagaimana facebook ini berkembang daripada sebuah bilik kecil di Universiti Harvard sehinggalah sekarang yang mempunyai lebih 500 juta pengguna aktif di seluruh dunia. Di Malaysia sahaja, pengguna facebook adalah seramai 7 juta orang.

Itulah serba sedikit kisah tentang fenomena yang telah merebak keseluruh dunia ini. Saya sendiri baru sahaja berkenalan dengan dunia FB pada awal tahun 2010. Masih baru. Itu pun setelah diperkenalkan oleh rakan-rakan dan adika-adik yang pernah saya kendalikan kem dan program. Habis sahaja program mesti ada suara :

“ Abang ada FB tak?,”
“ FB?”, Tanya saya.
“ Facebook la, abang,” Katanya sambil tersenyum-senyum sinis.

Sebenarnya tiada apa yang ingin saya coretan banyak tentang si pengasas ini. Cuma saya hendak ajak kita sama-sama melihat FB dari sudut yang berbeza.

Cetusan Idea

Saya masih ingat pada tahun 2008, saya menghadiri sebuah program Hijrah Menara Gading (HIMEGA) yang menghimpunkan pelajar-pelajar lepasan SPM sebagai sebuah program untuk mendedahkan suasana kampus kepada peserta. Dalam ucaputama program tersebut, satu slot telah disampaikan oleh seorang Profesor dari Universiti Teknologi Malaysia ( UTM), Skudai. Namanya : Prosefor Dr Abdul Hakim Mohamed.

Beliau menyatakan bentuk cabaran global yang akan melanda dunia beberapa tahun mendatang. Katanya :

“ Terdapat beberapa perancangan yang rapi yang dilakukan oleh pengasas internet seperti google dan sebagainya untuk mengurus, mengawal dan memantau kehidupan seharian manusia. Mereka sedang merancang sehingga dapat mengetahui apa yang dilakukan oleh kita setiap hari sehingga di dalam rumah,”

Semasa itu, saya kurang memahami apa yang ingin sampai oleh beliau. Tetapi, saya yakin perkara itu tidak mustahil boleh berlaku.

Ketagihan FB

Hari ini, rata-rata kanak-kanak, remaja, hatta orang dewasa semuanya memiliki akaun facebook. Bayangkan, di Malaysia sahaja terdapat 7 juta orang mempunyai akaun tersebut. ( Sangat banyak!) Dan banyak aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mereka-mereka yang mempunyai FB ini.

Ada yang menggunakannya, berkongsi maklumat, bertukar-tukar gambar, mencari rakan-rakan lama, melakukan hebahan maklumat, melakukan servis perkhidmatan, memberi komentar gambar yang dipostkan, menyatakan status diri dan sebagainya.

Namun, kita dapati ramai yang sudah mengalami ketagihan FB. Ya, ketagihan FB ini mulai melanda semua orang.

Di rumah, dipejabat kerajaan, di universiti, ditempat awam, dikedai yang mempunyai kemudahan WIFI, dan di serata tempat. Dan jika, kita lihat ramai yang akan membuka FB ini. Hmm. Betulkah pemerhatian dan pengamatan saya?

Apa tanda anda ketagihan FB?

(1) Jika melayari internet, laman sesawang FB merupakan laman yang pertama yang akan anda buka.

(2) Anda akan rasa tidak selesa jika tidak dapat menghadap FB ini untuk tempoh satu hari. Rasa gelisah, tidak tenang dan menggeletar seluruh jiwa dan raga.

(3) Anda mampu menghadap laptop, atau computer berjam-jam lamanya hanya dengan FB

(4) Anda terlupa untuk melakukan kerja-kerja lain, seperti assignment kuliah, tugasan daripada boss dan sebagainya sehingga mutu kerja dan produktiviti merudum.

(5) Bagi jiwa dan hati anda, tanpa FB anda akan rasai suatu kehilangan dalam kehidupan.

Sama-sama kita check diri kita, adakah kita begitu?

Kelalaian FB

Secara peribadi, FB ini jika disalahertikan dan disalahgunakan ia akan membawa kepada kemudaratan, kelalaian dan kealpaan.

Tanda-tanda kita dalam kelalaian ketika menggunakan FB :

(1) Ibadah harian kita semakin tumpul, dan kita leka serta habiskan masa banyak dengan FB

(2) Ketika azan berkumandang di udara, ketika itu kita tiada keupayaan untuk berhenti daripada melayari FB dan terus leka dibuai indah bersama alam ke”facebook”an.

(3) Berjam-jam masa dan detik kita dihabiskan untuk menjelajahi alam FB, dan kita semakin seronok dan sayang kepada FB

(4) Kita semakin jarang membuka Al-Quran yang menjadi penguat ruhani kita. Jika dahulu, sempat menghadap Al-Quran setiap hari, kini kita semakin jauh daripada ruh Al-Quran.

(5) Zikrullah yang harus menemani kehidupan kita bergantian, dengan FB sebagai peneman hidup yang akrab.

(6) Assignment kuliah yang diberikan pensyarah, gagal disiapkan tepat pada masanya. Dateline terlepas dan berasalan bahawa : “ Saya sibuk dan tidak sempat.”

(7) Dengan FB, kita leka bersembang dan berbicara tanpa arah tujuan sehingga jiwa kita terasa kekosongan dan lebih parah jika teman bersembang kita itu berlawanan jantina.

(8) Budaya kutuk mengutuk, usik mengusik berlawanan jantina, berbincang tanpa asas kemanfaatan dan sebagai mendominasi aktiviti harian kita.

(9) Gambar-gambar yang dishare, ditag dan dikomen lebih banyak membawa kepada kemudaratan, menuju ke arah penyebaran dosa dan maksiat.

Dan, banyak lagi jika disenaraikan. Dan saya yakin anda sendiri mengetahuinya. FB jika melalaikan, ia harus dinilai semula.

“Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya”
[al-Mu'minun 23: 1-3]

Afwan saya sebut, gambar-gambar para wanita dan adik-adik remaja perempuan begitu mudah untuk dikenali, dilihat dan disedari melalui laman FB ini. Pernah saya sebut kepada para pelajar semasa sesi kuliah saya minggu lepas :

“ Siswi sekalian, jaga-jagalah dalam meletakan gambar anda di FB. Di sana terdapat mata-mata dan hati-hati yang sedang asyik menikmati – kecantikan dan keayunan- anda.”

Dan, apatah lagi jika gambar itu terdedah auratnya atau tidak sempurna penutupannya.

Ia sangat-sangat mengganggu jiwa.

Ia sedikit sebanyak memberi kesan dan calaran kepada kejernihan hati.

Mencorak keperibadian kita

Anda perasaan tak?

Bahawa, FB kepunyaan kita melambangkan keperibadian kita. Apa yang kita tulis, ungkapkan, bicarakan dan nyatakan adalah sifat kita sebenarnya.

Kekadang tanpa disedari, ada yang membuat penilaian dan memerhatikan kita melalui “wajah” facebook kita.

Ia seolah-olah menampakan sisi gelap, sahsiah diri kita dan perangai sebenar kita.

Wallahu’alam

Saya sedang berfikir ke arah itu, berfikir bagaimana hendak mengajak semua orang untuk menjadikan FB ini sesuatu yang berguna, bermanfaat dan yang penting ia baik untuk dakwah!

Kitalah yang menjadikan FB ini bermanfaat atau sebalik.

Atau anda ada pandangan yang lain?

sumber : brohamzah.blogspot.com

Sabtu, 6 November 2010

Hukum ucap selamat sempena perayaan agama lain

Islam mengharamkan seseorang muslim membuat apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran atau kesesatan. Termasuk dalam hal ini membesarkan agama lain dengan mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran, atau melakukan amalan ibadah yang mempunyai makna menyembah atau menyeru tuhan selain Allah. Maka, apa sahaja tindakan yang membawa kepada maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan dengan perbuatan atau ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu benar atau betul, maka dia menjadi kafir.

Firman Allah: (maksudnya)
“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. (Surah al-Nahl, ayat 106).

2. Dalam masa yang sama, Islam tidak membenarkan kita menzalimi bukan muslim dan Islam menyuruh kita melakukan kebaikan kepada bukan muslim yang tidak memusuhi kita kerana agama kita. Firman Allah (maksudnya):
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9)

3. Juga, Islam menyuruh kita mengucapkan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Firman Allah: (maksudnya):
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-Nisa, 86).
Inilah adab Islami yang tinggi. Ia merangkumi sesama muslim atau kepada bukan muslim. Sehingga Ibn ‘Abbas r.a menyebut:
“Jika Firaun berkata kepadaku ‘semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).
Maka sudah pasti mereka yang tidak sejahat Firaun dan tidak memusuhi Islam lebih layak untuk menerima ucapan balas.

4. Oleh kerana dalam masalah mengucapkan tahniah ataupun “congratulating” sempena perayaan agama lain mempunyai unsur seakan mengakui agama lain –secara langsung atau tidak langsung-, dan dalam masa yang sama ada juga nilai berbuat baik kepada bukan muslim yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama berkhilaf pendapat tentang hal ini. Bagi mereka yang melihat unsur mengiktiraf kekufuran, mereka mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara bagi mereka yang melihat ia bukan berunsur mengiktiraf kekufuran agama lain, sebaliknya sekadar melakukan barr ataupun kebaikan kepada penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama yang berpendapat sebegini mengharuskan ucapan tersebut dengan syarat-syarat tertentu.

5. Tidak boleh dinafikan bahawa selain nas-nas al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas, faktor keadaan, zaman dan persekitaran mempengaruhi para sarjana Islam dalam melihat kepada isu ini. Kitab-kitab yang ditulis pada persekitaran muslim begitu dominan dan tiada keperluan untuk melakukan ucapan tersebut kelihatan keras dan mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara, ramai juga sarjana terutama di zaman kini yang mempunyai persekitaran yang baru dan keperluan untuk memperlihatkan keharmonian Islam kepada bukan Islam, fatwa-fatwa mereka ini lebih lunak dan mengizinkannya dengan syarat-syarat tertentu.

6. Syeikh Islam Ibn Taimiyyah r.h. (meninggal 728H) dalam karyanya Iqtida al-Sirat al-Mustaqim dan muridnya al-Hafizd Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h (meninggal 751H) dalam karyanya Ahkam Ahl al-Zimmah dengan tegas mengharamkan hal ini. Mereka telah mengemukakan hujah dan alasan mereka dalam mengharamkannya. Teras kepada perbincangan mereka ialah perbuatan tersebut membawa erti menyerupai orang kafir dan meredhai agama mereka. Fokus mereka adalah penyertaan seorang muslim kepada upacara perayaan bukan muslim. Banyak pendapat-pendapat ulama silam yang mereka petik. Pandangan kedua imam agung itu diikuti oleh sesetengah para ulama terutama dari negara yang dominan penduduk muslim seperti Arab Saudi. Maka Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi mengharamkan ucapan selamat sempena perayaan agama lain.

7. Sementara Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and Research) yang dianggotai oleh ramai sarjana muslim membolehkan muslim memberikan ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka (Congratulating Non-Muslims on Their Festive Occasions). Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. Ini berteras ayat dalam Surah al-Nisa, ayat 86 yang kita sebutkan tadi. Pun begitu, mereka tetap mengharamkan muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.

8. Fatwa yang sama yang mengharuskan ucapan sempena perayaan agama lain dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti Dr Yusuf al-Qaradawi dan al-Mustafa al-Zarqa. Antara hujah yang digunakan oleh al-Syeikh Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa, m.s 356. Damsyik: Dar al-Qalam).
Ertinya, beliau membandingkan mengucapkan selamat sempena hariraya agama lain kepada penganutnya, bukan bererti mengiktiraf akidah mereka.

9. Dengan ini saya berpendapat, boleh mengucapkan selamat hariraya kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka dengan syarat ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah. Maka, memadai sekadar ‘selamat hariraya’ atau ‘selamat bergembira’ atau seumpamanya. Hal ini lebih dituntut jika semasa hariraya Islam mereka mengucapkannya.

10. Namun, seorang muslim tidak boleh turut merayakan hariraya agama lain. sebabnya, perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan hariraya kita. Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan muslim bukan dengan berkongsi hariraya, tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain.

11. Apa yang penting, dalam dunia semasa yang Islam dituduh dengan pelbagai tuduhan liar, kita patut menonjolkan imej Islam yang harmoni dan baik. Dalam masa yang sama kita mesti menjaga benteng akidah kita.

oleh : Dr.MAZA

Isnin, 1 November 2010

Israel, mereka bersungguh-sungguh. Kita?

Satu hari, Dr ‘Ala Hilat ada bercerita berkenaan Kibutsats. Pertama kali mendengarnya, membuatkan saya tertarik untuk mendengar apa yang hendak dia ceritakan.

Dia berkata:
“Kibutsats adalah salah satu sistem tarbiyah Israel, yang hakikatnya perlu kita perhatikan”
Kibutsats adalah bandar-bandar yang dibangunkan di sekitar sempadan Israel. Terdapat banyak kibutsats. Kibutsats akan dibangunkan apabila cukup 100 orang lelaki dan semuanya adalah tentera, bersama keluarga mereka. Mereka akan membina perkampungan di sempadan Israel.

Di sini saya kongsikan apa yang saya dengar berkenaan kibutsats.

Terbina untuk membina
Kibutsats hakikatnya adalah satu sistem pembinaan masyarakat yang sangat sistematik. Semua orang di dalam kibutsats terikat dengan peraturan yang agak ketat. Tetapi semuanya hidup mentaati peraturan itu.

Mereka mempunyai jadual harian. Di dalam kibutsats, terdapat dewan makan yang sangat besar. Semua keluarga di dalam kibutsats tidak akan makan di rumah mereka, tetapi makan bersama di dalam dewan besar itu. Perempuan-perempuan akan memasak bersama dan semua lelaki akan makan bersama.

Ada waktu untuk makan, ada waktu pula untuk kerja. Semua orang akan keluar bekerja yang mana, tempat-tempat bekerja mereka juga adalah milik mereka. Contohnya ladang, itu hakikatnya adalah ladang mereka. Kilang, mereka juga yang bina. Mereka bekerja menjalankan apa yang ada dan sedikit demi sedikit meningkatkan semuanya.

Kibutsats tidak terhenti dengan kehidupan makan dan bekerja sahaja. Terdapat juga jadual riadhah dan latihan ketenteraan bagi semua. Sebaik sahaja kerja tamat, mereka akan bersama menjalani latihan ketenteraan. Semua bersama. Baik anak kecil mahupun yang tua. Terbahagi kepada peringkat masing-masing.

Di dalam kibutsats ada nurseri dan sekolah. Semua anak-anak kibutsats akan dihantar ke nurseri dan sekolah di dalam kibutsats itu juga. Tidak akan dihantar keluar. Guru-guru di dalam nurseri dan sekolah itu juga adalah dari komuniti kibutsats.

Sistem pendidikan dan penjagaan kibutsats
Sistem pendidikan kibutsats amat unik. Mereka mempunyai silibus tersendiri, disusun dan direka untuk memenuhi hajat mereka yang ingin menawa duniaa. Mereka tidak memandang pelajaran mereka adalah untuk anak-anak mendapat sijil, atau kerajaan untuk mendapat untung, atau untuk pejabat-pejabat mendapat pekerja.

Mereka menggunakan sistem pendidikan mereka untuk membina ideologi, pemikiran anak-anak mereka.

Saya bagi satu contoh mudah. Matematik.
Di Malaysia, silibus kita biasanya hanya melibatkan kenderaan, buah-buahan dan makanan. Contohnya:
Ahmad ada 10 buah epal. Ahmad ada empat lagi kawan. Semuanya nak makan epal. Maka Ahmad membahagikan 10 buah epal tadi kepada dirinya dan empat kawan lagi sama-rata. Maka berapa biji epalkah yang akan dapat dimakan setiap seorang termasuk Ahmad?
Itu contoh soalan matematik di Malaysia.


Di Kibutsats Israel, mereka belajar matematik juga, tetapi isi matematik mereka membawa kepada apa yang mereka mahu. Contohnya:
Yyvon mengetuai satu peperangan terhadap 10 daerah orang arab. Yyvon mengetuai lima platun tentera termasuk platunnya sendiri. Maka, Yyvon membahagikan serangannya terhadap 10 daerah orang arab tadi kepada semua platunnya sama-rata. Maka, berapa daerah orang arabkah yang perlu dimusnahkan oleh semua platun termasuk platun Yyvon?

Itu contoh pengajian di kibutsats. Lihatlah bagaimana mereka membangunkan pemikiran pemuda-pemuda mereka. Dan silibus sebegini, digunakan sedari nurseri lagi. Ditambah pula dengan latihan ketenteraan yang wujud di dalam kibutsats sehari-hari.

Betapa bersungguhnya mereka membina anak-anak mereka.
Kemudian mereka amat menjaga pemuda-pemuda mereka. Jika ada anak-anak muda ingin keluar ke mana-mana daerah di dalam Israel, kerana cuti contohnya, maka dia wajib memaklumkan kepada ketua kibutsats. Kemudian, ketua kibutsats akan memberikan panduan:
“Sekiranya kamu hendak ke tel aviv, kamu pergi naik bas sekian, berhenti di stesen bas sekian, kemudian kamu bergerak menuju rumah sekian dan bertemu orang sekian. Di sana semuanya telah tersedia untuk kamu, makanan, duit dan sebagainya”

Begitu sekali. Malah, pemuda-pemuda yang ingin keluar tadi akan diberikan wang pula.
Sistem di Kibutsats adalah begitu.
Tujuannya satu, membina diri mereka, masyarakat mereka agar terus kuat dan kebal. Agar yang terbangun, agar yang mantap hanyalah mereka.

Doa tanpa usaha tidak akan membawa apa-apa makna
Itu sebahagian cerita Dr ‘Ala kepada kami. Dia ketika itu baru sahaja selesai mempelajari perihal Kibutsats dalam mata pelajaran Kamasyarakatan Israel di Universiti Yarmouk. Satu kekaguman saya kepada Dr ‘Ala Hilat, dia sentiasa dahagakan ilmu. Dia hakikatnay sudah mendapat PhD dalam pengkhususan Muqorantul Adyan. Tetapi dia masih lagi masuk ke kuliah-kuliah di Yarmouk ketika masa senggangnya.

Dr ‘Ala berkata:
“Kita lihat hari ini orang Islam berdoa supaya Allah menghancurkan Israel, memusnahkan tentera-tentera mereka dan menurunkan bantuan kepada kita. Tetapi, ingatlah semua bahawa, doa tanpa usaha tidak akan membawa apa-apa makna”

Doa tanpa usaha tidak akan membawa apa-apa makna. Itu pesanannya yang paling penting buat saya. Ya, kita orang Islam sering berdoa. Lebih-lebih lagi bila Palestin diserang, berapi kita berkhutbah, berqunut dan solat hajat.

Tetapi kita sendiri tidak membina diri kita, tidak membina keluarga kita, tidak membina masyarakat kita, tidak membina negara kita. Israel, mereka membina diri mereka ke arah matlamat besar mereka, mereka bina sekali keluarga mereka, masyarakat mereka, negara mereka.

Mereka jalani proses tarbiyah juga. Proses tarbiyah jahiliyyah yang sistematik.
Kita, kadangkala ada yang dikurniakan Allah SWT nikmat fikrah Islam, tetapi tidak menghargainya. Sekolah di sekolah agama tetapi tidak mengambil kelebihan di dalamnya. Kita tidak jalani proses tarbiyah Islamiyah dengan berdisiplin. Kita malas. Kita kuat main. Kita sering berfoya-foya membazir masa. Studi pun kita dapat nampak betapa orang Islam keterbelakang.
Maka apakah pertolongan Allah SWT akan sampai kepada kita?

Penutup: Itu adalah orang yang tidak beriman kepada Allah
Penduduk kibutsats adalah manusia yang tidak beriman kepada Allah SWT. Malah mereka hendak menghapuskan agama Allah SWT dan mereka yang menganutnya.

Tetapi, mereka sistematik mencapai apa yang mereka mahu. Mereka bersungguh-sungguh. Mereka ada kebersamaan. Mereka ada perancangan yang mantap. Mereka adun pengajian mereka, kultur mereka agar menyokong apa yang mereka bawa, apa yang mereka kejar.

Kita adalah manusia yang beriman kepada Allah SWT. Yakin dengan janji-janji-Nya, percaya dengan ketetuan-Nya. Tetapi kenapa kita begini hodoh? Tidak sistematik? Tidak bersatu? Tidak ada perancangan? Tidak pun kita berani bangun dengan adunan Allah SWT dalam kehidupan dan pendidikan kita. Kenapa?
Kenapa?
Di sinilah kita perlu duduk bermuhasabah semula.
Diri kitakah yang hendak menaikkan Islam?
Apa kata kita cermin diri, dan memperbaiki semula hati.
Sesungguhnya, kitalah yang menzalimi diri.
Palestin teraniaya bukan di tangan Israel hakikatnya.
Tetapi di tangan kita yang meninggalkannya.