Ahad, 14 Februari 2010

Kerajaan Najib alami masalah kewangan serius

Kenyataan Media

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melihat Kerajaan Persekutuan dibawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada dalam keadaan kritikal dimana Kementerian dan agensi kerajaan kini telah diarah untuk melaksanakan perbelanjaan berhemah.

Sebelum ini Kerajaan mengarahkan agar semua Pejabat kerajaan mematikan lampu dan semua peralatan elektrik diwaktu rehat sebagai langkah penjimatan bil elektrik. Kemudian Kerajaan membuat dasar mengurangkan aktiviti latihan, peperiksaan dan mengarahkan Kementerian serta Jabatan agar tidak membuat begitu banyak program di Hotel-hotel. Walaubagaimana pun arahan ini tidak semua dipatuhi. Langkah terbaru Kerajaan cuba membekukan aktiviti latihan dibeberapa jabatan.

Tahun lepas sahaja, 1 juta kakitangan awam kecewa kerana Kerajaan sudah tidak mampu membayar bonus dan Najib mengantikannya dengan wang saguhati RM 500 yang dibayar secara ansuran oleh kerajaan.

Kerajaan juga didapati telah mengeluarkan arahan tidak rasmi dibeberapa Kementerian untuk tidak memberikan bayaran berbentuk wang kepada kakitangan yang bekerja lebih masa. Pada waktu ini Kerajaan hanya membenarkan kakitangannya untuk mendapat cuti gantian memandangkan budget pengurusan telah dikurangkan.

Kerajaan turut membuat dasar mengurangkan pengambilan baru untuk kakitangan sokongan dan Profesional serta melanjutkan tempoh perkhidmatan pegawai yang sepatutnya pencen melalui skim kontrak selama 2 atau tiga tahun.

Semua kakitangan kontrak pula dijangka akan ditamatkan kontrak bermula pada bulan Mac hingga Jun ini

PAS melihat bahawa negara bakal mengalami peningkatan kadar pengangguran yang tinggi menjelang bulan Mac ini ekoran begitu ramai kakitangan kontrak Kerajaan ditamatkan kontrak.
PAS menyarankan agar kerajaan memberikan peluang kepada Kakitangan Kontrak yang ditamatkan ini untuk menyertai GLC milik Kerajaan dan meminta syarikat-syarikat GLC ini agar mengurangkan pengambilan pekerja asing. PAS mendesak agar jumlah kemasukan pekerja asing dikurangkan disemua sektor sebelum akhir 2010.

PAS juga mahu Kerajaan menumpukan perbelanjaan mengurusan dan dalam masa yang sama mengurangkan perbelanjaan pembangunan. Projek pembangunan yang tidak perlu atau tidak mendesak wajar dibekukan pada masa ini.

Beberapa program ekonomi baru perlu diwujudkan, tetapi PAS menolak cadangan Kerajaan yang mahu memperkenalkan GST, kerana ianya tidak releven dengan keadaan ekonomi rakyat pada masa ini. Pada waktu inflasi sebegini, bantuan Kerajaan amat diperlukan tetapi jika kerajaan menaikkan cukai atau meluaskan pakej cukainya maka peningkatan harga barangan pengguna dipasaran tidak boleh dihalang. Tindakan kerajaan menarik beberapa subsidi dalam keadaan sekarang juga dilihat tidak bijak, kerana ianya tidak memberikan manfaat mutlak kepada pengeluar dan pengguna.

PAS juga hairan, kenapa Najib mengurangkan tumpuan kepada program-program pertanian yang sebelumnya diusahakan di zaman Pak Lah, tetapi lebih sibuk mengejar usaha rundingan FTA dengan negara luar khususnya Amerika. Untuk rundingan dengan Amerika sejak empat tahun yang lalu, negara telah belanjakan lebih sejuta wang rakyat, sedangkan belum ada apa-apa perjanjian yang berjaya dimeterai.

PAS berharap agar sebarang rundingan FTA dengan negara luar dibekukan buat sementara waktu memandangkan penguatkuasaan dalam negara pada masa ini terlalu lemah hingga menyebabkan negara menjadi pusat lambakan barangan dari negara China yang mengambil peluang dari perjanjian FTA-China ASEAN.

Negara akan bankrap jika Kerajaan yang dipimpin Najib gagal untuk membangunkan sumber-sumber kewangan baru dan merancang perbelanjaan kerajaan secara bijak.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan