Rabu, 17 Februari 2010

Sebuah tragedi menyayat hati...

RAZIN (bukan nama sebenar) telah pulang ke rumahnya pada suatu petang setelah kepenatan berhempas pulas di pejabat.Dalam kepenatan sambil bersandar di kerusinya, dia ternampak kelibat LEMBAGA HITAM di kamar biliknya.


Dia amat terkejut dan terus menerkam ke kamar biliknya. Dia tersentak dan tergamam melihat seorang lelaki di biliknya sedang berdua-duaan dengan isterinya. Mereka nampaknya begitu mesra. Dia menempik ke arah lelaki tersebut namun ternyata tidak dipedulikan. Dia menerkam lelaki tersebut dan cuba menolak lelaki tersebut namun segera ditahan oleh isterinya.


Anak-anak yang tidur di bilik bersebelahan terkejut bangun, membuka kamar tidur mereka, lantas berlari ke arah bapa mereka namun ditahan oleh lelaki durjana tadi. “Aku bapa kamu sekarang, ibu kamu yang mahukan aku sebagai bapa barumu”, kata lelaki tersebut dengan nada ego dan takaburnya.


“Cis!!!.. siapa kamu yang mahu mengaku bapa kepada anak-anakku? Aku bapa mereka yang sah dari perkahwinan yang sah. Kamu pula siapa yang memandai mengaku bapa mereka”, bentak Razin dengan nada keras.‘Aku memang tiada ikatan yang sah dengan isterimu dan anak-anakmu, tetapi isterimu mahukan aku, biarpun tanpa ikatan perkahwinan yang sah”, ujar lelaki durjana tadi dengan nada penuh riak di wajahnya.


Razin kemudiannya dihalau keluar oleh lelaki durjana tadi, namun dia tetap tidak mahu berganjak. “Ini rumah aku, kenapa aku pula yang dihalau, engkau yang patut keluar”, bentak Razin dengan keras. Lelaki durjana tadi terus ketawa sambil tangannya memegang pinggang isteri Razin yang turut tersenyum dengan kejadian tersebut.


Razin kemudiannya dihumban keluar pintu rumahnya oleh lelaki durjana tadi dengan kasar. Tersungkur dia di pintu masuk rumahnya, namun digagahi juga untuk bangun.Razin amat bersedih dengan sikap isterinya dan lelaki durjana tadi, dia masih duduk di hadapan pintu rumahnya mengenangkan nasib dirinya. Kesian pada anak-anaknya yang masih mengharapkan bapa mereka yang tersayang. Apa sudah jadi pada dirinya, begitu besar ujian yang menimpa dirinya.


Selang beberapa minit kemudian, sebuah kereta peronda berhenti di hadapan rumahnya. Seorang pegawai polis yang segak beruniform keluar dari kereta tersebut dan melangkah menuju ke arahnya. “Encik, saya diminta oleh tuan rumah ini untuk memastikan encik tidak membuat kacau di sini, harap encik dapat pergi dari sini” ujar pegawai polis berkenaan.


“Kenapa pula, ini rumah saya, lelaki durjana itu yang merampas rumah saya” kata Razin dengan nada keras. “Itu saya tak mahu tahu, yang penting encik perlu pergi dari sini sebelum saya berkeras, sebarang masalah encik boleh membawa kes ini ke mahkamah” kata pegawai polis tadi.


“Baiklah, saya menghormati awak, saya akan pergi dari sini, saya akan bawa kes ini ke mahkamah”, ujar Razin dengan nada kecewa.


Di mahkamah


“Setelah mendengar segala penghujahan yang diberikan, maka mahkamah dengan ini memutuskan bahawa isteri kamu adalah milik lelaki tersebut walaupun tanpa perkahwinan yang sah. Ini kerana isteri kamu telah bersetuju menerima lelaki tersebut maka secara rasminya anak-anak kamu juga merupakan anak-anak lelaki tersebut” ujar hakim dengan nada selambanya.


Razin tersentak dan terpaku dengan keputusan mahkamah itu, bagaimana mungkin isteri dan anak-anaknya menjadi milik lelaki durjana itu dalam sekelip mata sahaja, tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Ayah mertua yang di harap menjadi org tengah pula kelihatan gembira dengan keputusan mahkamah dan di lihat memeluk erat lelaki tersebut tanda restu.


Terkejut memikirkan bagaimana mudah, hanya dengan mengaku seseorang itu miliknya, maka dengan mudah sudah bertukar tangan. Apa sudah jadi dunia ini.“Ya Allah, sebegitu berat ujian yang Kau berikan padaku. Adakah dunia ini sudah hampir sampai ke penghujungnya jika sebegitu mudah seseorang mengambil hak orang lain tanpa rasa bersalah, dan perbuatannya direstui oleh masyarakat” getus rasa sedih hati Razin.


Kesimpulan :


Siapakah Razin?
Siapakah Lembaga Hitam a.k.a lelaki perampas yg ego?
Siapakah Isteri Razin?
Siapakah ayah mertua?
Siapakah anak2 yang menjadi mangsa?

Gunakanlah aqal fikiran yang Allah berikan untuk menilai sendiri apakah mesej yang ingin di sampaikan dalam cerpen tersebut.


Catatan :Terima kasih kepada penghantar cerpen ini. Mohon agar di sertakan pengenalan diri agar mudah kita berkomunikasi di lain masa. Kami mengalu2kan sebarang sumbangan dalam sebarang bentuk artikel yang sesuai untuk di siarkan dalam blog ini.Syukran Jazilan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan